Friday, November 21, 2008

dari RAHMAT HARON ke SHAMSIAH FAKEH

puisi Rahmat Haron untuk Shamsiah Fakeh....

shamsiah

selamat tinggal samsiah fakeh,kerana aku dapat rasakan dunia baru disebalik gas gas pemedih mata dan dibawah batu batu konkrit yg dilempari.
Awas api perempuan ini

Jam sembilan pagi hari hartal 20 Oktober
tapi ini tahun 2008 – enam puluh satu tahun kemudian
dia menghembuskan
nafasnya yang penghabisan,
meninggalkan
sejarah besar
dan khalayak yang kecil
memberi hormat
pada tamat
jalan hidupnya;
di kuburan
pokok nangka
rumpun pandan dan pohon kelapa,
berkumpul
dua tiga orang anak-anaknya,
menangis
dua tiga orang cucu-cucunya,
sedikit sahabat-handai
sedikit keluarga
dua tiga kerat pemimpin
dan sedikit peminat
bersedih-sedihan mengalirkan air mata.

sedikit musuhnya Bernama RTM
-tiba-tiba membawa berita tanpa tipu setelah hayatnya tiada-
setelah helah bertahun-tahun dia dihitamkan tanpa putih,
paling kurang menjadi kelabu pun tak ada
dan
parti telah lama membuangnya.


benar ini bandar
ada urusan dan alasan
ada mesyuarat dan persidangan
ada kerja dan kesibukan
ada janji dan pertemuan
ada parti berseronok dan parti politik
apalah pentingnya
jenazah tanpa nyawa
"kita ambil hikmahnya
belajar sejarahnya, itu yang utama.
"
ah, kuburan tanda kematian
pengkebumian itu ritual agama
adat resam dan budaya.



aku memang dah tak ada kerja lain
bolehlah menyibuk-nyibukkan diri,
kalau tidakpun
aku hanya
melepak dan berkhayal dan bermimpi dan bercakap dan membebel
tentang revolusi yang tak pernah jadi-jadi.



awan gelap
bergumpal hodoh
keruh langit
meratapi
pemergian seorang tokoh,
benar juga ini bukan pesta keramaian
tidak perlu berdedai-dedai
manusia seperti keldai
berbaris
memberi tabik hormat,
tidak perlu dipaksa semua ini,
dia bukan jenderal atau menteri atau longgokan bangkai-bangkai di makam-makam mahal atau artifak awetan dalam muzium
penuh prestij, ada kelas dan tinggi martabat itu.


dingin selepas asar
waktu arab
kasar hujan berat dan angin kuat
kencang bertiup
lembut tanah basah
kampung
malaysia raya
mengambus jasadnya
di sana mata air sungai besi
begitulah keras hatinya
seperti waja keluli.


Kesedihanpun mengalir
dalam hatiku seorang laki-laki
yang lemah
tak berdaya berdepan dengan sejarah dan cerita
gagahnya
aku hanya berkata-kata, bercakap, menjerit terlolong
terhoyong-hayang
meneguk alkohol, memegang botol-botol kecewa
sambil melukis atau menulis-nulis puisi cinta dan benci.



Kau tahu, suatu waktu dia cukup garang bersuara
melaungkan revolusi merdeka ibu pertiwi
seorang perempuan penuh api di dada
jiwa yang luas, fikiran yang cerdas
otakku semakin kerdil dibuatnya
aku hanya bersemangat buas,
tapi melihat matanya aku menjadi terlalu ringan seperti kapas
dan buta kerana warnaku cukup pekat merahnya tapi hanya pada buku dan gaya dan cap dan jenama dan stail dan fesyen belaka.


berat senjata dan cita-cita di tangannya – tangan seorang perempuan
yang menggoncang penjajahan dan dunia ketuanan laki-laki
di tanganku hanya keringat
gementar kesejukan
kederatku selalu tak larat
merdekaku hanya khayal semata
dan dia serikandi benar-benar memegang janji
sebuah revolusi
merdeka dengan darah!
"pengorbanan, berkorban, terkorban"
dan dia adalah korban,
dalam perjalanan sejarah yang panjang
dalam perang melawan penindasan
dalam darurat dan khianat
dalam berontak
meniti zaman pergolakan.


dia benar-benar
menyintai tanah air
seorang kawan
seorang komrad
seorang pemberani
seorang gerilyawati
seorang sosialis
seorang komunis
seorang pemimpin
seorang pemikir
seorang penulis
seorang pensyarah
seorang buruh kilang besi
seorang kekasih
seorang isteri
seorang emak
seorang nenek
dan tindakan-tindakan telah bergerak
amal dan pengalaman
telah mengoyak-ngoyakkan teori
kulit luruh menampakkan isinya.



Tapi aku cuma bermimpi
dan dia benar-benar nyata
bukan khayal membina syurga di bumi.


aku lelaki kehilangan upaya
hanya rupa seolah wira
ber t-shirt kan che guevara
dan wajah-wajah gagah
engels, marx, lenin, stalin, trotsky, castro
atau lei feng atau ak gopalan – AKG,
iya yang kutatap masih juga tegap tubuh-tubuh laki-laki.

di tanganku panji-panji
berbenderakan tukul dan sabit dan kukuh genggaman tangan
buruh dan petani
memetik bintang-bintang
keindahan ayat-ayat cerita orang lain
sengsara dan bahagia oktober 1917
sengsara dan bahagia rakyat di Kuba
sengsara dan bahagia di Selatan Amerika
aku menjadi pengkhayal rupanya
mendambakan romantika kejayaan revolusi yang jauh
lalu menghirup teh tarik kow kurang manis
di restoran mydin bangsaT utama
bersama kawan-kawan
roti canai mencecah kari
bersembang dan berbual panjang tentang itu dan ini
menunggu datangnya mati.


peduli apa aku
pada deng xio peng
atau mao tse tung
pada merah
revolusi budaya

tapi aku peduli
padanya
Shamsiah Fakeh
dan AWAS revolusi
tanah Melayu,
iya
revolusi
yang gagal itu
kerana
dia berjaya
menyalakan
api dalam diriku
untuk belajar menjadi seorang laki-laki berani
bukan berani menjadi hamba atau tuan
tapi tidak takut mengangkat saksama sesama manusia
salutku pada nya
seorang perempuan
revolusioner sejati.


20 Oktober 2008
aku tak hadir di sekolah revolusi.

dari kuchai lama
ke tanah perkuburan kg. malaysia raya, sungai besi, kl.

Monday, November 10, 2008

Unite Against Discrimination Collective

UNITE AGAINST DISCRIMINATION

COLLECTIVE

(U.A.D. COLLECTIVE)


Aktiviti pertama collective: Gotong-royong

Pada : 15 November 2008

Tempat : Rumah Anak-anak Yatim Asrama Bakti

Jadual Aktiviti:

9.00 a.m. - berkumpul di rumah Sazwan (Mat Wan)

- disertai oleh ahli-ahli collective seramai 9 orang

- mengumpul dan mengemas segala barang-barang

9.30 a.m. - bertolak ke rumah anak-anak yatim

10.00 a.m. - tiba di lokasi

- kemaskini barang-barang untuk bergotong-royong

10.20 a.m. - aktiviti bergotong-royong dimulakan

1.00 p.m. - aktiviti bergotong-royong tamat.

1.15 p.m. - rehat

- jamuan makan bersama-sama penghuni Asrama Bakti

- memberi sedikit sumbangan berbentuk pakaian dan hamper

2.00 p.m. - bergambar bersama-sama penghuni Asrama Bakti

2.30 p.m. - bersurai

Jutaan terima kasih kepada:

Semua ahli-ahli U.A.D. Collective yang sudi bekerjasama memberi sumbangan untuk menjayakan aktiviti ini.

Love You All

PEACE – UNITY - FREEDOM

UADC adalah kolektif yang berbasis di Kelantan

Monday, November 3, 2008

BELAJAR SAMA-SAMA

Ini adalah aktiviti ketiga HFC. Tempat aktiviti ini adalah tempat yang pernah kami datang untuk aktiviti pertama dulu. Kali ini, ada penambahan aktiviti iaitu tuisyen. Dikendalikan oleh cikgu Azizah. Terima kaseh kepada semua yang terlibat.






HAPUSKAN I.S.A

*diambil dari gugusankata.blogspot.com

I.S.A atau Internal Security Act (Akta Keselamatan Dalam Negeri) merupakan salah satu dari undang-undang utama di Malaysia yang membenarkan pemerintah menahan sesiapa sahaja tanpa perlu di dakwa dan di bicarakan di mahkamah.
I.S.A termaktub kepada peraturan 17 yang terkandung dalam undang-undang Darurat 1948 – 1960. Ia mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1960, 24 jam selepas tamatnya darurat pada 30 Julai 1960.
Seseorang yang didapati mengancam keamanan Negara ataupun menggugat sistem politik dan sosial kerajaan, berkemungkinan besar ditahan dibawah akta ini. Mereka akan diberi tekanan secara manipulasi psikologi melalui seksaan mental dan fizikal serta layanan yang tidak berperikemanusiaan semasa disoal siasat 60 hari selepas ditahan. Tahanan akan diberi perintah 'DITAHAN’ selama 2 tahun di Kem Tahanan Kamunting. Perintah itu ditandatangani oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan boleh diperbaharui selama 2 tahun lagi berkali-kali tanpa ada batasan.
Pada saat ini masih terdapat lebih kurang 100 orang yang ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting. Sebahagian besar mereka terdiri daripada golongan radikalis/ ekstrimis serta aktivis-aktivis sosial dan politik Negara. Sehingga hari ini mereka tidak pernah dihadapkan ke mahkamah untuk sebarang perbicaraan berhubung dengan kesalahan yang dinyatakan. Ini telah menunjukkan bahawa pemerintah kerajaan telah mencabul HAK ASASI MANUSIA dengan memenjarakan sesiapa sahaja TANPA BICARA. Undang-undang yang mencabul hak asasi manusia adalah sangat jelas merupakan undang-undang yang salah!
Pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia seperti Amnesty International dan Human Rights Watch telah mendesak kerajaan Malaysi(al) supaya memansuhkan I.S.A, dan kempen permansuhan ini telah dilaksanakan melalui gerakan-gerakan dari SUARAM, GMI, JIM, kolektif-kolektif bebas radikalis-kiri dan persatuan-persatuan mahasiswa di Negara ini.
Atas nama kemanusiaan, sila sebarkan pamplet ini kepada rakan-rakan dan famili bagi menyebarluas maklumat ini dan menyokong kempen untuk menghapuskan kezaliman I.S.A.
BANGKIT DARI TERUS DITINDAS
BEBASKAN TAHANAN I.S.A
TUTUP KEM TAHANAN KAMUNTING
HAPUSKAN KEZALIMAN I.S.A!